(Date written : 26 Aug 2023)
♦ Zaman ini, tatkala kita menerima pelbagai berita atau informasi tanpa tapisan, tentang seseorang, tentang seseorang pemimpin, atau tentang sesuatu perkara, maka kita perlu mendengar semua sekali namun mengikuti hanya yang terbaik. Inilah orang Ulil Albab. (39: 17-18)
♦ Jika kita hanya mendengar selorong sahaja, terutama Ketua Puak kita sahaja, maka kita tidak akan dapat menjadi seorang yang Adil, kita tak akan dapat berhujah dan mematikan hujah. Ketua Puak di sini, boleh jadi guru kita, pemimpin kita, parti politik kita, ustaz kita, dan kita menolak selain dari apa yang puak kita kata. Kenapa kita tak boleh jadi adil adalah sebab kita tidak dapat jadi hakim, sebab seorang hakim, sekurang-kurangnya mendengar hujah kedua-dua belah pihak, kemudian mengadilinya. (49:11)
♦ Setiap berita atau informasi yang kita terima, perlu atau wajib disahkan atau diverifikasi. Jika tidak, ianya mungkin berita bohong atau tidak benar, maka kita mungkin bersalah dalam menuduh atau memfitnah. (4:83, 5:42), 24:12, 24:14-15, 24:19)
♦ Kemelut yang berlaku di Tanah Malaya sebenarnya sama sahaja di mana-mana negara pun, cumanya di negara ini, ianya semakin nyata kecamuknya atau kemelutnya. Siapa yang akan kita undi? Apa tanggungjawab pemimpin? Benarkah kesusahan rakyat boleh diperbaiki apabila parti politik yang kita undi itu dapat memerintah? Ke sama je. Berkempen lebih namun hasilnya tidak seperti yang disangka? Persoalan akar umbinya adalah kepada sistem kepercayaan dalam diri kita sendiri. Siapa yang kita percaya? Apa kriteria untuk kita percaya seseorang? Boleh ke kita percaya seorang pemimpin yang pernah berkali-kali berbohong? Kejap cakap lain, esok lusa, atau beberapa tahun akan datang, cakap lain. Berputar-putar lidah membicarakan sesuatu. Apakah puak dia sahaja yang benar dan puak yang satu lagi salah 100%? Bolehkah kita memilih seorang kafir menjadi pemimpin? Siapakah sebenarnya orang kafir? Apakah pasal mereka tidak mengucap sahaja atau boleh jadi ke golongan kafir ini juga bersembunyi di sebalik jubah dan serban? (2:14, 3:28, 4:139, 4:144, 5:51, 5:57, 3:78, 16:116, 7:3)
♦ Mulakanlah dengan diri kita sendiri menjadi pemimpin kepada keluarga kita yang bertaqwa. Dengan itu, keluarga kita dapat tahu memilih siapa yang patut memimpin. (25:74, 21:73, 32:24)
♦ Bagaimana memverifikasi sesuatu berita atau informasi? Tengok buktinya. Itu sahaja neraca ukuran yang kita ada. Kalau bercakap atau sesuatu perkataan itu tanpa bukti, terutama dari apa yang telah berlaku vs apa yang diperkatakan, maka kita sepatutnya sudah tahu siapa yang berbohong dan siapa yang bercakap benar. Masalahnya, kebanyakan manusia meski dah ada bukti masih tidak mau percaya. Ini suatu kekafiran iaitu menutup kebenaran. (2:111, 2:209, 2:213, 3:86, 3:183, 4:174, 6:104, 7:101, 7:103, 7:203, 11:28, 28:75)
♦ Demokrasi. Hendak atau tidak, kebanyakan negara seluruh dunia kala ini mengikuti sistem demokrasi dalam memilih kerajaan. Maka, terjadilah perebutan dalam memenangi hati pengundi. Sepatutnya pemimpin sebenar itu diangkat (being lifted up), dan bukan sendiri lobi diri sendiri. Kita dapat perhatikan di syarikat kita bekerja, atau di luar sana, ada 2 jenis manusia yang jadi pemimpin. Satu, yang orang lain yang mahukan dia kerana peribadi, kalibernya, satu lagi yang jenis promosi diri sendiri dan keluar je mulut dia merendah dan melekehkan orang lain atau seterunya. Perhatikan, di negara kita ini, berapa kerat pemimpin yang kita mahukan atas dasar karakter dan kalibernya yang menjadi pemimpin. Seorang pemimpin mesti lah mempunyai 2 kriteria - kuat fizikal serta sangat banyak (abundance) ilmu pengetahuan. (12:54, 2:247)
♦ Satu lagi kriteria dalam memilih pemimpin, adalah yang pandai mengurus perbendaharaan negara, mengurus trade balance, import vs export negara, product negara, sumber negara, peluang pekerjaan kepada rakyat dan sebagainya. (12: 55)
---
End
Allah Al-Malik
Ulasan
Catat Ulasan