Langkau ke kandungan utama

Buat Anakku - Khaulah Dhirar

 (Date written : 17 Jun 2022)

Renungkan mengapa kombinasi nama ini diberi kepadamu wahai puteri pertamaku..

--------

Khaulah al-Azwar merupakan nama yang cukup tidak asing lagi apabila berbicara tentang srikandi Islam. Sebelum ini, kami pernah mengeluarkan artikel berkenaan kisah perjuangan Khaulah al-Azwar bersama abangnya, Dhirar al-Azwar, yang mana kegagahannya itu disamakan seperti Khalid al-Walid.

Antara sumber yang menceritakan tentang beliau secara terperinci adalah Futuh asy-Syam karangan Imam Al-Waqidi, dan edisi Bahasa Inggerisnya, The Islamic Conquest of Syria hasil usaha Maulana Sulaiman al-Kindi.

Kepahlawanan Khaulah al-Azwar mula direkodkan oleh sejarah semasa beliau cuba menyelamatkan abangnya, Dhirar yang telah ditawan oleh pihak Rom. Menurut Imam al-Waqidi, Dhirar ibn al-Azwar ketika itu ditugaskan oleh Khalid ibn al-Walid (atas cadangan Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah) untuk memintas 12 000 bala bantuan Rom pimpinan Warden yang dihantar oleh Heraklius untuk menyelamatkan kota Damsyik dari kepungan tentera-tentera Islam. Bagi menjalankan tugas itu, Dhirar diberikan kepemimpinan ke atas 500 orang tentera berkuda dengan dibantu oleh seorang lagi pahlawan gagah Islam, bernama Rafi’ ibn ‘Umayrah at-Ta’i.

Pertempuran antara pasukan Dhirar dan Warden ini merupakan salah satu siri pertempuran yang berlangsung sepanjang pengepungan 38 500 orang tentera Islam ke atas Damsyik. Dikisahkan bahawa dalam menghadapi jumlah musuh yang begitu ramai, Dhirar menggempur dengan begitu berani sambil mendendangkan syair perang:


Kematian adalah suatu yang hak.

Daripadanya, tidak ada pelepasan yang mutlak.

Syurga itu jauh lebih baik berbanding neraka,

Sementara kesyahidan kini sedang menjelma.

Maka bersaksilah hai sekalian yang hadir,

Kulakukan semua ini demi keredhaan Rabb al-Qadhir.


Dalam kesempatan tersebut, Dhirar berhasil membunuh putera Warden, iaitu Hamran. Namun sejurus selepas itu, beliau yang dikepung oleh puluhan perajurit Rom habis ditangkap.

Pun begitu, 500 orang tentera Islam tetap jua tidak goyah lantaran Rafi’ ibn ‘Umayrah pantas mengambil-alih kepimpinan. Salah seorang tentera Islam berjaya meloloskan diri dari medan tempur dan memaklumkan situasi pertempuran kepada Khalid ibn al-Walid.

Maka, langsung sahaja pahlawan Pedang Allah itu membawa kira-kira 15 000 orang tentera dari kem Gerbang Timur Damsyik ke medan tempur bagi menyelamatkan pasukan Dhirar al-Azwar. Beliau memulakan keberangkatan dengan sebuah syair perang:


"Hari ini kaum yang benar akan menang,

tiada gentar baginya walau maut mendatang.

Dahaga lembing akan kuhilangkan,

dengan darah musuh yang bercucuran.

Kan kutusuk topi dan perisai,

hingga kesemuanya habis berkecai.

Moga dapat kulihat makam Siddiq,

dan di syurga bertemu dengan Sabbiq (orang terdahulu).”


Kemudian, pasukannya berpampasan dengan Khaulah binti al-Azwar yang sedang memacu kudanya ke medan tempur, tanpa identitinya diketahui oleh sesiapa pada waktu itu. Khaulah merempuh ke barisan musuh sendirian.

Memetik kata Imam al-Waqidi, “Pahlawan misteri itu menerpa ke arah musuh laksana helang yang gagah sedang menyambar burung pipit.” Habis kucar-kacir barisan Rom dikerjakan oleh Khaulah ketika itu, hinggakan Rafi’ ibn ‘Umayrah dan pasukannya menyangka pahlawan itu tidak lain tidak bukan adalah Khalid al-Walid.

Sambil menghayun pedangnya dengan riak wajah penuh kegelisahan, Khaulah melantunkan syair yang jelas menggambarkan perasaan risau:


“Di manakah dikau hai Dhirar,

kelibatmu tidak dapat kunampak.

Kau menghilang tanpa meninggalkan jejak.

Hai satu-satunya abangku,

juga satu-satunya putera ibuku.

Hilangnya engkau maka hilanglah ketenteraman.

Hilanglah juga bagiku tidur yang nyaman.”


Walaupun amukan Khaulah yang dibantu oleh gempuran pasukan Rafi’ ibn ‘Umayrah dan Khalid al-Walid berjaya mengundurkan 12 000 orang tentera Rom itu, namun batang tubuh Dhirar belum jua ditemukan. Sampailah saat kedua-dua belah pihak kembali ke kem masing-masing.

Tidak puas mencari di medan perang, di celah-celah timbunan jasad korban perang, Khaulah menyambung pula pencariannya di setiap satu khemah Mujahidin. Sekali lagi, beliau melontarkan syair yang kali ini lebih melankolik:


“Hai putera ibuku!

Alangkah lega hatiku andai kudapatkan khabarmu,

walau hanya berita dikau terlantar sendirian di ceruk hutan,

atau khabar kau dibunuh menyahut ajal yang bertamu.

Oh, semoga adikmu ini dikorbankan untukmu.

Alangkah sedihnya hati ini,

mengenangkan yang kita mungkin tidak akan bersua lagi.


Demi Allah, hai abangku!

Sungguh hilangmu buat hatiku gundah.

Bagai api marak tanpa ada air yang menyimbah.

Sekarang,

pergilah dikau bertemu ayah dengan berkat Muhammad.

Aku panjatkan salam yang berpanjangan,

buatmu hingga ke Hari Pengadilan.”


Prihatin dengan keadaan ini, Khalid al-Walid segera menyoal siasat seorang tawanan yang berjaya diberkas semasa pertempuran tadi, bertanyakan tentang Dhirar al-Azwar. Menerusi soal-siasat tersebut, Khalid dapat mengetahui bahawa Dhirar sedang diberangkatkan ke Homs untuk dipersembahkan kepada Kaisar. Kata tentera Rom yang ditawan itu, Warden berasa kagum terhadap sifat Dhirar yang gagah berani lalu ingin menghadiahkannya kepada Heraklius.

Maka, Khalid al-Walid pun segera mengarahkan Rafi’ ibn ‘Umayrah agar memimpin 100 orang tentera berkuda bagi mengejar rombongan tentera yang sedang membawa Dhirar ke Homs, berjumlah 100 orang menurut tawanan itu. Pasukan penyelamat ini turut disertai oleh Khaulah setelah meminta izin langsung daripada Khalid al-Walid.

Kecekapan Rafi’ ibn ‘Umayrah berhasil membawa pasukannya untuk tiba terlebih dahulu di sebuah lokasi yang djangka bakal dilalui oleh rombongan Rom yang membawa Dhirar. Rafi’ mengarahkan tenteranya agar bersembunyi sebelum melakukan serangan hendap. Dalam suasana malam yang kelam, dari jauh samar-samar kedengaran seseorang sedang meluahkan syair:


“Hai bayu penyampai berita,

sampaikanlah pesanku kepada Khaulah sekeluarga:

Bahawa aku telah menjadi banduan yang hina-dina.

Tiada di sisiku melainkan ahli Syam yang kafir,

lengkap berbaju besi tanpa ada senyum yang terukir.


Hai hati, duka dan kesal telah membuatmu mati.

Hai tangisan, mengalirlah dikau di pipi ini.


Tahukah dikau,

adakah kami berdua dapat lagi bertemu

sambil mengenang tika bersua,

janji di antara kami berdua?”


Syair ini didengari oleh Khaulah yang sedang bersembunyi bersama pasukan Rafi’. Beliau lantas menyahut, “Allah telah mengabulkan doa abang!”

Laungan ini disusuli oleh gema takbir dan serbuan dari pasukan tentera pimpinan Rafi’ ibn ‘Umayrah. Dalam masa yang sekejap, 100 orang tentera Rom itu habis terbunuh. Misi menyelamatkan Dhirar dengan lancar meraih keberhasilan.

Sementara itu di kem utama pula, Khalid al-Walid membawa pasukannya melakukan serangan malam secara mengejut ke atas kem pasukan tentera Warden. Akibatnya, habis 12 000 orang tentera yang dibekalkan oleh Heraklius untuk Warden dimusnahkan dan mereka lari lintang-pukang.


Warden sendiri antara yang melarikan diri, untuk kemudiannya menerima arahan dari Heraklius agar menuju ke Ajnadayn dan mengambil kepemimpinan ke atas 90 000 orang tentera yang bakal dihimpunkan di medan tersebut. Dari situlah bermulanya bibit Pertempuran Ajnadayn.

Sejurus selepas diselamatkan oleh adik perempuannya, Dhirar mengekspresikan kesyukurannya menerusi bait-bait syair berikut:

“Hai Tuhan,

kepadamu kupanjatkan kesyukuran.

Doaku telah Kau terima,

turut Kau hapuskan duka dan lara.

Hajatku telah Kau penuhi,

dan disatukan ahli-ahli kami.

Kini tidaklah berasa puas hatiku,

kecuali kuperangi musuh-Mu.”


Kemudian, menganjak ke beberapa tempoh kemudian, Khalid al-Walid menggerakkan seluruh kekuatan di Damsyik untuk berpindah ke Ajnadayn dan menumpukan kekuatan di situ bagi menghadapi bala tentera Rom.


Beliau meninggalkan kira-kira 1000 orang tentera di bawah kepemimpinan Abu Ubaydah ibn al-Jarrah untuk mengawasi pergerakan kaum wanita, kanak-kanak dan perbekalan di belakang pasukan utama yang dipimpin oleh Khalid al-Walid yang bergerak dengan kelajuan penuh ke medan Ajnadayn.

Mengambil kesempatan ke atas keadaan itu, Paulus dan saudaranya, Peter yang merupakan antara pengemuka Rom di Damsyik masing-masing keluar dan mengepalai pasukan kavalri dan infantri. Paulus membawa pasukan kavalrinya menyerang pasukan Abu ‘Ubaydah manakala Peter pula mengepung dan menawan kaum wanita, kanak-kanak dan perbekalan Muslim.

Keadaan ini benar-benar berbahaya buat kem wanita dan kanak-kanak Muslim memandangkan pasukan pertahanan yang dititipkan untuk mengawal keselamatan mereka sedang sibuk menghadapi pasukan kavalri Paulus.

Antara yang ditawan oleh tentera Rom ketika itu adalah Khaulah. Beliau dikurung di dalam sebuah khemah tawanan bersama beberapa srikandi Islam yang lain seperti ‘Afirah binti ‘Affar, Umm ‘Aban binti ‘Utbah, Salamah binti Nu’man dan lain-lain.

Dalam kesempatan itu, setiap tentera Rom ralit memilih wanita-wanita tawanan itu untuk dijadikan sebagai pemuas nafsu. Khaulah sendiri yang memiliki rupa yang jelita dan menawan tidak terlepas dari keadaan itu apabila batang tubuhnya didekati komander infantri Rom-Damsyik, Peter.


Enggan maruahnya dinodai, Khaulah menyeru sahabat-sahabatnya agar mencabut tiang-tiang khemah dan menjadikannya senjata bagi melawan tentera-tentera Rom. Ramai yang menjadi korban kepada serangan srikandi-srikandi Islam ini.


Pun begitu, jumlah musuh yang terlalu ramai memustahilkan untuk mereka keluar dari situasi getir itu. Mujur, berita tentang keadaan ini berjaya disampaikan kepada Khalid al-Walid yang sudah mara agak jauh. Lantas, Khalid pun membentuk beberapa buah pasukan untuk menyelamatkan pasukan Abu ‘Ubaydah dan kaum wanita serta kanak-kanak yang telah ditawan.

Antara panglima yang dihantar sudah tentunya Dhirar ibn al-Azwar. Beliau segera membawa pasukannya bergegas ke medan tempat Peter menghimpunkan tawanannya. Ketika memacu tunggangan, Dhirar melontarkan syair berikut:


Hai Tuhan, hapuskanlah musuh kami sekalian,

yang kerana mereka kami ditimpakan kesusahan.

Janganlah Kau datangkan padaku kematian,

sebelum kepada Khaulah aku Kau temukan.

Itulah keinginanku,

itulah hajatku.


Ayuhlah sahabat,

bersamaku kita berangkat,

hadapi musuh yang nyata,

agar hajatku dapat dilaksana.


Andai kugagal dalam cubaan,

cukurlah jambangku sebagai penghinaan.


Gempuran yang beliau lakukan berhasil menewaskan pasukan tentera musuh sekaligus menyelamatkan adiknya, Khaulah dan tawanan-tawanan yang lain. Keadaan ini sekaligus menyaksikan bagaimana Dhirar dan Khaulah begitu melindungi antara satu sama lain.

====

Mengulas tentang buku Futuh asy-Syam tulisan Imam al-Waqidi ini, Leftenan Jeneral A.I . Akram di dalam bukunya, Khalid bin Al-Waleed Sword of Allah tidak begitu bersetuju dengan kronologi peristiwa yang dilampirkan, terutama tentang bagaimana kota Damsyik dikepung oleh Khalid al-Walid sebanyak dua kali menurut Imam al-Waqidi sedangkan sejarah mendapati kota terbabit hanya dikepung dan dikuasai dalam satu percubaan sahaja. Pun begitu, perincian-perincian peristiwa yang diberikan oleh Imam al-Waqidi dikatakan tepat dan malah, dipuji sebagai karya yang paling terperinci dalam mengisahkan tentang kempen Pembukaan Syam.

Walau apapun keadaannya, kisah perjuangan adik-beradik ini di medan jihad bagaikan bunga-bunga yang mengindahkan skrip sejarah Pembukaan Syam, meliputi Pertempuran Ajnadayn, Pertempuran Yarmuk, sehinggalah tumbangnya kota Antioch. 


RUJUKAN

Al-Waqidi, Al-Imam. Futuh asy-Syam. [The Islamic Conquest of Syria, terjemahan Mawlana Sulayman al-Kindi]. Ta-Ha Publishers Ltd.

====

Dipetik dari : 

https://www.thepatriots.asia/khaulah-al-azwar-kisah-srikandi-jelmaan-khalid-dan-abangnya-dhirar/


===

You are named after fighters name in fi sabilillah.

Don't you forget that.







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MasyaAllah

MasyaAllah (Date written : 19 November 2014) ==== Mari bezakan dulu Follower of Assumptions vs ILMU ====== maaf untuk sampai point terpaksa saya mengambil beberapa TULISAN orang lain. Tulisan 1 : ========= Tahukah anda apa erti kalimah “MasyaAllah” dalam bahasa Melayu? Selalukah anda menyebutnya dalam keadaan tertentu? Anda mungkin tak ambil kisah sangat dengan maksudnya dan anda pun menyebut penuh yakin kalimah ini. Namun pernahkah anda terfikir samada anda menggunakan lafaz kalimah ”MasyaAllah” ini bersesuaian pada tempatnya? Contohnya, mungkin anda menyebut kalimah ini ketika berhadapan dengan situasi yang tidak baik atau tidak elok, seperti ketika terlihat gambar- gambar yang kurang baik, melihat perkara- perkara yang kurang elok dan sebagainya atau apabila anak-anak kita buat perangai nakal, tidak dengar kata dan sebagainya. Sebenarnya maksud kalimah “MasyaAllah” ialah ALLAH YANG MAHA AGUNG atau ALLAH THE ALMIGHTY. Mengikut buku “What Do...

Kalam Allah Paling Efektif

Kalam Allah Paling Efektif (Date written : 23 Aug 2014) (Last Updated : 26 Aug 2014) Intro ==== Turunkan diri terdiri di hadapan Kalimat Allah TERTINGGI. Allah Al-'Ali. Allah Ta'ala. Maka Titah- Nya atau Kalam-Nya juga mempunyai KESAN yang begitu DIRECT kepada kehidupan. Mana nak dapat Titah atau Kalam Allah ? Soalan amat senang untuk di jawab - Melalui kitab-kitabNya. Dan zaman ini, Nabi ini, ianya adalah Kitab Al-Qur'an. Di situlah pelbagai TITAH ALLAH yang MULIA dapat di baca, di fahami, dituruti dan di sampaikan. Di dalamnya ada kemuliaan dan Kebanggaan kita. Di situlah ada Hidayah atau Bimbingan. Di situlah ada Cahaya. Di situlah ada Rahmat. Di situlah ada Berkat. Di situlah ada Syifa' atau Penyembuhan. Yunus : 57 يٰٓأَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ● Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan PEN...

Allah yang kita Kenali (3)

Allah yang kita Kenali (3) (Date written : 13 May 2014) (Last Update  : 20 May 2014) CUKUP ====== Mengapa seorang juruteknik perlu membawa toolbox ke tempat bertugasnya? Sebab tools itu di perlukan untuk buka screw dan sebagainya. Technician yang tak bawa tools selalunya tak boleh buat dan siapkan kerja. Ok. Mengapa kita kena SEMBAH ALLAH ? Sekali lagi SEMBAH bermaksud menjadi 'abdi, puji dan puja, doa dan seru HANYA kepada ALLAH. Ada yang jawab sebab sebagai Tanda kita ini mensyukuri NikmatNya (setengah Ulama berijtihad sebegini). Ada orang jawab sebab kita memang dijadikan untuk mengabdi diri kepada Allah. Firman Allah : Az-Zariyat : 56 وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ● Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi (LIYA'BUDUN) kepada-Ku. ● Ayat itu biasa di dengari NAMUN kesan atau impak TAK KUAT pada diri ini. Tau tapi tak de kesan. Kena cari SEBAB yang lebih. Sebenarnya itu adalah JA...